Alhamdulillah, majoriti umat Islam menghormati al-Qur’an sebagai sebuah kitab suci. Akan tetapi sayang sekali boleh dikatakan bahawa penghormatan kepada al-Qur’an adalah sesuatu yang dilakukan tanpa menelaah kandungannya, jauh sekali daripada mempraktikkannya. Sejak kecil kita diajar untuk menghormati al-Qur’an semata-mata kerana ia adalah al-Qur’an, bukan kerana pengetahuan tentang apakah al-Qur’an dan peranannya kepada kita sebagai seorang Islam. Sekali-sekala kita mempraktikkan al-Qur’an, namun yang dipraktikkan bukanlah ajarannya tetapi ayat-ayatnya yang diperalatkan untuk tujuan tertentu seperti hiasan dalam rumah, menghalau gangguan makhluk ghaib, melariskan jualan, menyembuhkan penyakit, lulus peperiksaan, memagari rumah dan pelbagai lagi.
Sememangnya tidak salah untuk menghormati al-Qur’an kerana ia adalah al-Qur’an tetapi jika penghormatan ini didasarkan kepada sikap menelaah dan mempraktikkan kandungannya, ia akan lebih bermakna dan bermanfaat untuk kita semua. Lebih dari itu, dengan menelaah dan mempraktikkan kandungan al-Qur’an, kita sebenarnya mencapai tujuan asal al-Qur’an diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Para ilmuan telah menggariskan bahawa yang dituntut ke atas kita terhadap al-Qur’an adalah:
1. Beriman kepadanya.
2. Membacanya dengan disiplin tajwid sekadar mampu.[1]
3. Menelaahnya, yakni memerhati dan mengkaji kandungannya (tadabbur).
4. Mempraktikkannya dalam segala liku kehidupan.
5. Menyampaikannya sama ada untuk tujuan dakwah atau menegakkan hujah.
6. Membelanya daripada tuduhan orientalis dan penyelewengan segelintir umat Islam.
Daripada enam tuntutan ini, empat yang pertama dituntut ke atas semua umat Islam. Apabila seseorang itu telah menguasai empat yang pertama, maka dituntut ke atasnya dua yang selebihnya. Sehingga kini boleh dikatakan bahawa majoriti umat Islam telah menunaikan dua tuntutan yang pertama. Kita beriman kepada al-Qur’an dan belajar cara membacanya berdasarkan disiplin tajwid yang betul. Akan tetapi, sepertimana yang disebut di permulaan bab ini, kita masih jauh daripada menelaah kandungan al-Qur’an, apatah lagi mempraktikkannya.
Oleh itu melalui bab yang pertama ini, penulis akan cuba menarik perhatian para pembaca ke arah menelaah al-Qur’an sehingga kepada mempraktikkannya. Akan tetapi sebelum itu penulis ingin memperkenalkan al-Qur’an kepada para pembaca sekalian. Ini kerana tanpa berkenalan dengan al-Qur’an, kita tidak akan tahu apakah yang hendak ditelaah daripadanya. Tanpa mengetahui apa yang hendak ditelaah daripada al-Qur’an, kita tidak akan tahu apa yang hendak diamalkan daripadanya. Oleh itu marilah kita terlebih dahulu berkenalan dengan al-Qur’an dengan merujuk kepada al-Qur’an itu sendiri.
Al-Qur’an adalah petunjuk kepada orang bertaqwa:
Alif-Lam-Mim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa. [al-Baqarah 2:1-2]
Dalam ayat di atas yang merupakan antara ayat pertama di dalam al-Qur’an, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menerangkan bahawa al-Qur’an adalah petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. Kepentingan peranan “petunjuk” yang dimainkan oleh al-Qur’an boleh kita umpamakan sebagai seseorang yang mencari-cari jalan di dalam kesesakan bandar. Terdapat pelbagai jalan, di antaranya ada yang mudah dan sukar, ada yang pendek dan panjang, ada yang lurus dan berliku-liku, ada yang selamat dan merbahaya. Maka di dalam kepelbagaian ini, dia sangat-sangat memerlukan petunjuk untuk menunjuknya jalan yang paling mudah, pendek, lurus dan selamat. Yang penting ia menunjuk kepada jalan yang dapat membawa kepada destinasi yang sebenar.
Demikianlah peranan al-Qur’an. Ia adalah petunjuk yang menunjuk kita ke jalan yang mudah, pendek, lurus dan selamat daripada segala kesesakan, cabaran dan liku-liku kehidupan. Tanpa petunjuk al-Qur’an, kita mudah tersesat ke pelbagai jalan yang lain.
Perhatikan juga dalam ayat di atas, Allah menerangkan bahawa al-Qur’an adalah petunjuk bagi “orang-orang yang hendak bertaqwa”. Ringkasnya bertaqwa adalah takut kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ketakutan kita kepada Allah bukan menyebabkan kita menjauhi-Nya. Sebaliknya takut kepada Allah menyebabkan kita menghampiri-Nya dengan mentaati perintah-larangan-Nya, berusaha mencari keredhaan-Nya dan menjauhi kemurkaan-Nya. Semua ini dapat kita capai apabila kita jadikan al-Qur’an sebagai petunjuk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan