Selasa, 15 Jun 2010

NIKMATNYA UJIAN

Assalamu'alaikum w.b.t

Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah S.W.T kerana dengan limpah dan kurnianNya kita masih diberi kekuatan Iman dan Islam dalam hati kita bersama dan tiada sekutu bagiNya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W kepada para sahabat, tabi'in, tabiut tabi'in dan kepada seluruh umat Islam. Sebelum melangkah lebih jauh dalam penulisan ini marilah sama-sama kita hadiahkan Al-Fatihah buat seluruh umat Islam khususnya para syuhada' yang syahid dalam mempertahankan Islam yang suci ini, juga buat saudara-saudara kita yang syahid dalam tragedi 31 Mei 2010, serangan Kapal Bantuan Kemanusiaan ke Gaza 'Flotilla' yang diserang Israel Laknatullah. Kita hadiahkan juga Al-Fatihah kepada kedua ibu bapa kita sama ada yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia dengan harapan amalan kita yang sedikit ini dapat diterima disisi Allah S.W.T InsyaAllah.

Terdetik hati ini untuk menulis artikel ini sebagai usaha dakwah Islamiyyah dalam menyebarkan ilmu Allah yang sangat luas ini. Semoga tulisan ini dapat memberi manfaat kepada kita bersama. InsyaAllah.

Setiapa hari kita berhadapan dengan pelbagai nikmat dan ujian, kadangkala kita hampir tidak sanggup menghadapinya. Namun sebagai umat Islam kita tidak boleh berputus asa dalam mencari rahmat dan reda Allah S.W.T. Biar manusia hina melihat kita tetapi jangan Allah S.W.T hina memandang kita. Kadangkala terdetik dihati kita keluh kesah kerana ujian yang terlalu berat yang kita hadapi. Namun, haruslah diingati bahawa Allah S.W.T tidak sesekali menguji hamba-hambaNya dengan ujian yang hambaNya tidak mampu menghadapinya. Masih ingatkah kita akan fimanNya dalam Surah Al-Baqarah ayat 286 yang mafhumnya:

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya..."

Jadi usahlah kita merungut bila diberi ujian. Hendaklah kita hadapinya dengan sabar dan tabah. Usah gentar untuk berkelana di alam fana hanya kerana ikutkan kehendak nafsu manusia. Teringat aku akan kisah Nabi Allah Musa a.s yang diberi ujian yang getir ketika dia terlibat dengan kejadian memukul seorang Qibti (Coptic) sehingga mati dalam usahanya menentang kezaliman terhadap kaumnya Bani Israel sehingga menyebabkan Nabi Musa as terpaksa melarikan diri ke negeri Madyan yang agak jauh dari Mesir yang ketika itu diperintah oleh Firaun bagi menyelamatkan dirinya. Nabi Musa as memang terkenal dengan sifatnya yang menentang sekeras-kerasnya kezaliman. Sesampainya di negeri Madyan Nabi Musa as bertemu sekumpulan pengembala kambing lelaki yang sedang memberi minum binatang ternakannya manakala di sebelah mereka didapati dua orang perempuan yang sedang menunggu giliran untuk memberi minuman kepada binatang ternakannya. Nabi Musa as yang ketika itu amatlah keletihan dan lebih memerlukan air berbanding kumpulan-kumpulan tadi telah memerah tenaganya untuk menuntut keadilan hak bagi 2 orang wanita itu. Lantas tanpa memikirkan tentang dirinya Nabi Musa as pergi kepada kedua orang wanita itu dan bertanyakan hal mengapa mereka tidak memberi minum kepada binatang ternakan mereka. Wanita-wanita itu menjawab mereka tidak boleh memberi binatang ternakan mereka minum sehinggalah kumpulan pengembala lelaki tadi selesai memberi binatang ternakan mereka minum. Lantasan Nabi Musa as terus memberi binatang ternakan 2 orang wanita itu minuman dan dia berlalu pergi ke tempat yang teduh seraya berdoa seperti yang terkandung di dalam Al-Quran. Kisah ini diceritakan oleh Allah S.W.T dalam al-Quran yang suci di dalam surah Al-Qasas 22-24 yang bermaksud:

22. Dan setelah ia (meninggalkan Mesir dalam perjalanan) menuju ke negeri Madyan, berdoalah ia Dengan berkata: "Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan jalan Yang benar kepadaku,".

23. Dan ketika Dia sampai di telaga air negeri Madyan, ia dapati di situ sekumpulan orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan ia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. Dia bertanya: "Apa hal kamu berdua?" mereka menjawab: "Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa Kami seorang yang terlalu tua umurnya ".

24. Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku ini kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan amatlah fakir “.

Dek kerana kesibukan kita seharian dalam mengerjakan pelbagai urusan kita kurang meneliti kisah-kisah yang diceritakan oleh Allah melalui Al-Quran yang mulia sehingga kita lupa bahawa Nabi-Nabi Allah terdahulu lebih besar dugaannya berbanding kita yang lemah iman ini. Di dalam kita diuji sebenarnya Allah merindukan rintihan doa daripada hamba-hambaNya, Allah menguji kita agar kita sentiasa ingat tentangNya. Barangkali Allah menguji kita sebagai teguran kepada apa yang kita lupa atau tentang sesuatu yang kita abaikan. Maha Suci Allah dalam menetapkan setiap ketentuan dalam penuh Maha Kebijaksanaan.

Aku tertarik dengan doa yang diucapkan oleh Nabi Musa as yang terkandung di dalam surah
Al-Qasas ayat 24 yang bermaksud:

Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku ini kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan amatlah fakir”

Dalam Al-Quran diceritakan dengan kalimah yang ringkas,namun amat mendalam pengisiannya disebut dengan “Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir” maksud fakir disini Nabi Musa as sangat berkehendak terhadap rezeki kurniaan Allah. Manakan tidak Nabi Musa as yang telah dibesarkan dalam keadaan yang serba mewah di dalam istana kemudian terpaksa hidup melarikan diri disebabkan peristiwa titik permulaan kerasulan Baginda.

Lihat saudara-saudariku sekalian! Nabi Musa as walau dalam keadaan yang lemah dan tiada daya masih mengharap kurniaan rezeki daripada Tuhannya iaitu Allah S.W.T. Sedangkan kita ini manusia biasa yang tiada sebarang mukjizat masih menyombongkan diri dengan Tuhan bilamana kita diuji!. Sungguh! kita mohon dijauhkan oleh Allah S.W.T daripada sifat sombong sedemikian. Doa yang ringkas tetapi penuh makna itu amat-amat memberi kesan dalam hidup
Nabi Musa as, dimana selepas itu dia dijemput oleh bapa kepada kedua-dua wanita itu ke rumah diberi hidangan, diberikan pekerjaan dan dikahwinkan dengan salah seorang dari wanita tadi. Maha Suci dan Maha Agung Allah S.W.T yang menunaikan setiap hajat hamba-hambaNya yang mengkehendaki sesuatu dengan memohon dan berdoa dengan tulus ikhlas. Setelah diuji dengan pelbagai ujian, Allah memberi kebaikan yang membawa nikmat yang sangat-sangat berharga disebalik ujian tersebut.

Jadi, marilah sama-sama kita mengambil iktibar di dalam kisah Nabi Musa as yang mendapat kenikmatan yang sangat indah setelah menghadapi ujian yang amat hebat dalam lembaran kehidupannya.

Marilah sama-sama kita amalkan doa Nabi Allah Musa ini dalam ketika menghadapi ujian agar Allah memberi kemudahan dan kelapangan kepada kita InsyaAllah. “Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir”. InsyaAllah. Wallahu’alam.

Sesungguhnya yang baik itu datang daripada Allah dan yang lemah itu daripada kelemahan saya sendiri yang juga diatur oleh Allah S.W.T dalam menguji kekuatan keimanan hamba-hambaNya.
Sekian, Wassalam.

(ibnurahmah_2010=15/06/2010)

p/s: Nota ringkas ini boleh di’copy’ tetapi hendaklah disertakan sekali laman blog ini www.haluanpemuda.blogspot.com demi usaha dakwah Islamiyyah alam siber.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan