Ahad, 27 Jun 2010

Untukku Dan Mereka Yang Bergelar Pemuda

Untukku Dan Mereka Yang Bergelar Pemuda
www.iluvislam.com
oleh: pemudatua
Editor: deynarashid

Aku, engkau dan kami adalah aset yang berguna untuk masyarakat, kitalah pemimpin di masa hadapan. Kitalah generasi pengubah dan pendidik masyarakat.

Penuhilah diri kamu dengan ilmu dan akhlak, untuk bekalanmu dalam memimpin generasi masa depan. Maka aku ingin menasihati diriku dan mereka yang sewaktu denganku,

1.Taatilah Allah dan RasulNya dan jauhilah apa yang dilarangnya.

عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : ” سبعة يظلهم الله في ظله يوم لا ظل إلا ظله ، إمام عادل وشاب نشأ في عبادة الله ، ورجل قلبه معلق بالمساجد ، ورجلان تحابا في الله اجتمعا عليه وتفرقا عليه ، ورجل دعته امرأة ذات منصب وجمال فقال إني أخاف الله . ورجل تصدق بصدقة فأخفاها حتى لا تعلم شماله ما تنفق يمينه ، ورجل ذكر الله خالياً ففاضت عيناه ” متفق عليه

Dari Abu Hurairah r.a. , Nabi SAW bersabda ”Ada tujuh golongan manusia yang akan dilindungi Allah dengan lindungannya pada hari tiada lindungan lain kecuali lindungannya sahaja iaitu :- Pemimpin yang adil, pemuda yang membesar dalam keadaan mengabdikan diri kepada Allah, lelaki yang hatinya terpaut kepada masjid, dua lelaki yang berkasih sayang hanya kerana Allah bertemu dan berpisah hanya keranaNya, seorang lelaki yang digoda oleh seorang perempuan yang mempunyai kedudukan dan kecantikan tetapi lelaki iti menolak dengan berkata sesungguhnya aku takutkan Allah, seorang lelaki yang merahsiakan sedekahnya sehingga tidak diketahui oleh orang lain dan seorang lelaki yang duduk menyendiri munajat kepada Allah lalu mengalirkan air matanya. [Muttafaqun Alaih]

Sabda Rasul Allah SAW yang bermaksud “Sesungguhnya Allah sangat-sangat kagum kepada pemuda/remaja (termasuk pemudi) yang tidak ada (mengalami) keruntuhan akhlak/moral pada dirinya”.(HR. Ahmad & Abu Ya’la).

2. Ambillah segala kesempatan di zaman mudamu ini dengan memenuhi setiap masa lapangmu dengan ilmu.
قال النبي صلى الله عليه وسلم . : إغتنم خمسا قبل خمس : (1) شبابك قبل هرمك . (2) وصحتك قبل سقمك . (3) وغناك قبل فقرك . (4) وفراغك قبل شغلك . (5) وحياتك قبل موتك رواه الحاكم في المستدرك،341،4، من حديث إبن عباس رضي الله عنهما

Sabda Rasulullah yang bermaksud : ”Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama : masa mudamu sebelum datang masa tuamu. Kedua : masa sihatmu sebelum sakitmu. Ketiga : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin)mu. Keempat : masa lapang sebelum tiba masa sibukmu. dan kelima masa hidupmu sebelum tiba masa matimu.” (riwayat al-Hakim dalam Mustadraknya). Hadis Ibnu Abbas r.anh.

3. Jagalah kehormatan dirimu dan jauhilah zina.
يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ البَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ، وَأَحْصَنُ لِلْفَرجِ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِيعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ، فَإِنَّهُ لَهُ وَجَاءٌ». رواه البخاري ومسلم

“Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin,sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan.maka sesiapa yang tidak berkemampuan,hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu baginyabenteng nafsu” .(Hadith riwayat Muslim).

Pemuda dan Dakwah Islam.


قال صلى الله عليه وسلم ” أوصيكم بالشباب خيراً. فإنهم أرق أفئدة.. لقد بعثني الله بالحنيفية السمحة.. فحالفني الشباب وخالفني الشيوخ “. رواه البخاري

Rasul Allah saw. bersabda : ”Aku berpesan kepadamu supaya berbuat baik kepada golongan pemuda, sesungguhnya hati mereka paling lembut. Sesungguhnya Allah telah mengutusku membawa agama Hanif ini, lalu para pemuda bergabung denganku dan orang-orang tua menentangku” [Riwayat Bukhari].

Rasul Allah SAW berumur 40 tahun ketika wahyu diturunkan, dan ketika itu umurnya mencapai kesempurnaan pemuda. Begitu juga khulafa yang empat, dan Ali merupakan pemuda yang paling muda antara mereka. Dan disusuli oleh baki 6 pemuda lain yang dijanjikan syurga. Dan baki sahabat-sahabat baginda yang lain.

Duhai pemudaku, mereka ini ialah generasi pertama dalam penyebaran dakwah Islam. Kalian semua mengetahui dari buku-buku sejarah, bahawa dua empayar besar, Rom dan Parsi jatuh menyembah bumi, tunduk pada keadilan Islam di tangan mereka.

Begitu juga dengan Syam, Mesir, Tripoli, Damsyik dan Maghribi, semuanya tunduk di bawah tangan pemuda Islam. Dan dakwah ini tersebar hampir 2/3 dunia meliputi Sepanyol yang terletak di Barat Eropah, sebahagian besar India, Turkistan dan sempadan China di Timur sehingga seorang Khalifah Abbasiyah, Harun Al-Rasyid berkata kepada awan ”Turunlah di mana sahaja kamu mahu, sesungguhnya hasil keluaranmu akan kembali kepada kami“.

Semua ini tidak akan tercapai kecuali dengan keazaman, pengorbanan, jihad dan keinginan untuk syahid para pemuda hasil didikan Rasul SAW.

Ya Allah, sediakan bagi umat ini, para pemuda yang mempunyai keazaman, pengorbanan dan jihad seperti orang-orang yang terdahulu dari kami. Orang-orang yang menjaga ilmu-ilmu warisan Nabi kami, mengembalikan daulah Kami, kemuliaan dan keagungan ummat Kami.

Kita dan pemuda.

Hari ini masjid kita tidak mesra pemuda. Masjid kita meminggirkan orang muda, bahkan kanak-kanak. Masjid kita barangkali hanya untuk orang-orang tua atau dalam ertikata lain ”daun yang bakal layu esok hari“.

Kita tinggalkan anak-anak kita di belakang saf dengan dunia mereka sewaktu kita berjumpa Allah. Malah yang lebih teruk, ada “lebai” yang tinggalkan anaknya di rumah. Si ayah alim dan hebat di masjid, tetapi dalam waktu yang sama lupa pada anaknya di rumah.

Kita sering bicara hal-hal lain, tetapi jarang sekali kita bicara tentang masalah pemuda, tentang keruntuhan akhlak di kalangan pemuda kita. Usahkan berdiskusi tentang masalah pemuda, kita biarkan mereka hanyut dengan dunia mereka dan kita dengan dunia kita sehingga wujud perbezaan ketara antara golongan tua dan muda.

Ada ayah yang menegur anak-anak mereka, tapi mereka ego dengan umur dan pengalaman mereka. Remaja yang menegur golongan tua dikatakan kurang ajar. Golongan muda dan tua tiada bezanya, kecuali umur mereka sahaja.

Remaja berbuat maksiat dapat dosa, dan golongan tua berbuat maksiat juga dapat dosa. Tapi benarkah kita, golongan tua mampu ditegur oleh golongan muda, dan mampu menerima saranan dan cadangan dari orang muda?.

Anda boleh lihat sendiri kehadiran pemuda kita di masjid, di kuliah-kuliah ilmu dan sebagainya. Mari berkawan dengan pemuda kalian. Mari kita bina generasi pewaris dari pemuda kita.

Akhir kata, aku ingin tanya ”ayah-ayah" dan ”golongan tua” yang membaca postku ini.

-Sejauh mana penglibatan anak-anak kalian dalam hidup kalian?
-Berapa kerapkah kalian membincangkan tentang masalah pemuda, berkongsi masalah dan pandangan dengan anak-anak remaja kalian?


Untuk pemuda, mari kita jadi pemuda tua yang tua dari segi ilmu dan pengalamannya menandingi manusia seusia dengannya. Rajin-rajinkan bersama dengan orang-orang tua yang berilmu, untuk kita dapatkan pengalaman mereka dan ilmu mereka.

~Bersama kita bina generasi pewaris~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan